
Jangkaan suasana panas bagi Perhimpunan Khas bagi pindaan Perlembagaan parti langsung tidak berlaku, sebaliknya Pengerusinya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, membaca artikel yang akan dipinda dengan senyuman lebar.
“Saya tergelak dan trersenyum kerana berasa amat senang hati kerana pindaan yang dicadang yang akan membuka pintu demokrasi Umno ini dengan lebih luas ini memang seiring dengan niat kita untuk perubahanan.
“Apa puin jangkaan ramai dan perdebatan mengenai perubahan yang ingin dilakukan, saya secara peribadi yakin ahli Umno yang elah lama berjuang untuk Melayu ini tidak akan menentang usaha untuk ke arah perubahan yang kukuh,” katanya menceritakan mengapa dia tergelak riang ketika membentangkan pindaan yang akan dibuat kelmarin.
Ramai tertanya apakah ‘semangat Janda Baik’ yang disentuh ramai perwakilan dan disentuh secara khusus Naib Presiden, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, ketika menggulung perbahasan semalam.
Ramai ketua bahagian yang ditanya mengenai kursus selama tiga hari di Janda Baik baru-baru ini, hanya dapat memberitahu kursus bina semangat itu adalah yang terbaik pernah dihadiri di alaf baru ini dan paling penting ia gelanggang memulihkan semangat setiakawan yang agak longgar sejak kebelakangan ini.
Kursus yang mengumpul semua pemimpin pusat, negeri dan bahagian ini tanpa pembantu dan pengawal peribadi ini telah membawa semua pemimpin Umno kembali kepada landasan perjuangan sebenar.
Semua pemimpin yang hadir bukan saja perlu mengangkat beg mereka sendiri untuk memasuki kawasan kursus, mereka perlu meninggal pangkat dan mengikut semua arahan fasilitator yang bertanggungjawab melaksanakan program terbabit.
“Presiden parti sendiri (Datuk Seri Najib Razak) berada di sana sepanjang tiga hari, membasuh pinggan dan turut melaksanakan arahan fasilitator. Kursus ini adalah perkara terbaik berlaku kepada kami, kerana ia memberi peluang kepada kepimpinan semua peringkat untuk bermuhasabah diri,”: kata seorang ketua bahagian yang turut menyertai kursus terbabit.
Ada beberapa pemimpin yang enggan mematuhi arahan kursus diarah pulang kerana tidak ada tempat untuk mereka yang mendabik dada dengan angkuh dan bongkak.
Pergeseran antara beberapa pemimpin Umno turut berjaya dileraikan di Janda Baik. Antara yang kembali bertaut ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusuh, Menteri Besar Perlis, Datuk Mat Isa Sabu dan bekas menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, serta beberapa orang lain.
Idris ketika ditemui mengakui dia tidak menghadapi masalah dengan politik Terengganu, malahan tidak teragak-agak untuk membantu Ahmad Said bagi mengukuhkan parti dan kerajaan negeri.
“Saya telah melakukan apa yang saya anggap terbaik ketika menjadi Menteri Besar. Semua itu telah berlalu. Saya kini meletakkan diri mengatasi politik Terengganu. Tumpuan utama saya sekarang ialah di peringkat pusat, sebagai Pengerusi Mara,” katanya.
Terengganu adalah antara yang mengalami kemelut politik Umno yang agak serius, walaupun dengan ikrar Idris untuk membantu Ahmad Said, ia masih perlu meleraikan perasaan tidak puas hati beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian yang lain.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak ketua bahagian lain, tapi saya yakin Ahmad Said akan melakukan yang terbaik untuk memulihkan keyakinan pemimpin lain kepadanya,” katanya.
Najib turut merangasang semangat Janda Baik dengan berkata: “ Kusus di Janda Baik ini bagus, semua orang setaraf. (Di sana) Kita mahu menteri kenal pemimpin lain.. Saya pun basuh pinggan, kita berbaris dan bersenam sama..
“Enam bulan lagi kita akan kembali ke Janda Baik. Saya juga akan meminta laporan dari Pengeruis Perhunbungan negeri. Buat kerja tak buat kerja,… kalah hendak kekal buat kerja,” katanya ketika membuat ucapan penggulungan semalam.
Keberkesanan kursus di Janda Baik adalah petanda awal bagi proses pemulihan parti.
Walaupun masih ada ahli yang mengambil sikap tunggu dan lihat, namun semangat yang dibakar di Janda Baik telah dibawa ke Perhimpunan Agung yang berakhir semalam. Apa yang pasti barisan kepimpinan Umno ini sudah sedia untuk mengembalikan maruah Umno sebagai pejuang bangsa Melayu.






